Nigeria mencipta kejutan dalam Piala Dunia Wanita 2023 apabila menumbangkan pasukan tuan rumah, Australia, 3-2 di Stadium Suncorp semalam.

Selepas membuka kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Republik Ireland minggu lalu, Australia berada dalam bahaya dengan risiko gagal ke pusingan 16 selepas tewas kepada Nigeria dalam aksi Kumpulan B.

The Matildas, yang sekali lagi turun tanpa kapten, Sam Kerr, gara-gara kecederaan, mendahului menerusi jaringan Emily van Egmond pada penghujung babak pertama tetapi Uchenna Kanu kembali mengikat kedudukan buat lawan dari Afrika itu -- yang dibezakan 30 kedudukan ranking di bawah Australia di tangga ke-40 dunia -- sebelum mendahului hasil jaringan Osinache Ohale pada minit ke-65.

Pemain gantian, Asisat Ohala, menjaringkan gol ketiga Nigeria pada minit ke-72. Australia kemudian merapatkan jurang dengan tandukan Alanna Kennedy dalam waktu kecederaan tetapi kemenangan itu kini melonjakkan Nigeria ke tangga pertama Kumpulan B dengan empat mata -- jumlah mata yang sama dengan pasukan di tangga kedua, Kanada.

Nigeria selepas ini akan menghadapi pasukan yang sudah tersingkir, Republik Ireland, sambil Australia pula perlu mengatasi Kanada pada Isnin ini seandainya mahu melayakkan diri ke pusingan-16.

Dalam pada itu, aksi Kumpulan E menyaksikan Amerika Syarikat (AS) dan Belanda terikat 1-1 di Wellington.

Jill Roord meletakkan Belanda di depan pada minit ke-17 sebelum Lindsey Horan menjaringkan gol penyamaan buat AS dalam babak kedua.

Satu lagi perlawanan Kumpulan E menyaksikan Portugal mencipta sejarah meraih kemenangan pertama dengan menewaskan Vietnam 2-0 di Hamilton.

Telma Encarnacao membuka jaringan pasukan itu seawal minit ketujuh sebelum Francisca Nazareth menggandakan kelebihan pada minit ke-21.