Uruguay memang berhak menjadi pilihan utama untuk menganjurkan Piala Dunia Edisi Ke-100 pada 2030, menurut bekas pemain antarabangsa Uruguay, Gus Poyet.

Negara Amerika Selatan itu menjadi hos edisi sulung kejohanan berkenaan pada 1930 dan seterusnya memenangi Piala Dunia pertama.

Pada 2017, Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF) dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengumumkan hasrat mereka untuk mengemukakan bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah temasya 2030 dengan negara-negara Amerika Selatan, Chile dan Paraguay, kemudiannya menyertai cadangan itu.

Sepanyol, Portugal, Ukraine dan Maghribi telah pun melancarkan bidaan tetapi Poyet percaya bahawa sejarah kejohanan itu harus dihormati.

"Saya fikir adalah wajar bahawa Uruguay menjadi tempat yang sempurna untuk melangsungkan Piala Dunia pada 2030," katanya kepada Stats Perform.

"Adakah kami mempunyai kapasiti sebagai sebuah negara untuk mengadakan Piala Dunia? Tidak. Jadi ia perlu dikongsi dengan negara jiran seperti Argentina, Chile atau Paraguay.



"Masalahnya, saya pernah teringat suatu masa dahulu apabila seseorang memberitahu saya bahawa bola sepak tanpa politik tidak wujud lagi; ia telah pun mati. Kami sangat bergantung kepada politik negara.

"Jika ahli politik tidak mencapai persetujuan maka bola sepak tidak akan bersatu. Jadi saya rasa terkilan andai ia tidak dianjurkan di Uruguay, sekurang-kurangnya untuk satu kumpulan atau dua."

Bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, pernah mencadang Piala Dunia dianjurkan setiap dua tahun.

Pelan yang disokong oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, tersebut menerima kritikan hebat dengan Poyet turut menentang cadangan itu.

"Saya mahu ia kekal empat tahun sekali, saya tidak mahu Piala Dunia setiap dua tahun," katanya lagi.

"Saya fikir untuk menjadi juara dunia adalah sukar, ia mengambil masa empat tahun dan jika anda tidak memenanginya, maka anda perlu menunggu empat tahun lagi.

"Ia seperti Sukan Olimpik, anda boleh mempunyai satu lagi peluang dalam tempoh dua tahun."