Marcus Rashford berharap dia berpeluang untuk menebus kegagalannya dalam penentuan sepakan penalti final Euro 2020 kepada Itali menerusi kempen Piala Dunia di Qatar.

Penyerang Manchester United itu di samping Jadon Sancho dan Bukayo Saka merupakan anggota pasukan Gareth Southgate berkenaan yang gagal mengatasi Gianluigi Donnarumma dalam penentuan sepakan penalti.

Ketiga-tiganya kemudiannya menerima serangan berbentuk perkauman di media sosial, tetapi ia tidak menghalang mereka untuk terus menganggotai The Three Lions.

"Perkauman tidak bagus untuk dilalui sebagai individu dan tidak baik untuk melihat sesiapa terpaksa melaluinya. Ia lebih menjurus kepada kekecewaan. Saya kecewa apabila orang mempunyai pandangan seperti itu," katanya menjelang pertemuan dengan musuh berjiran, Wales, awal pagi Rabu ini.


"Dan sebab utamanya ialah anda tidak mempunyai pandangan seperti itu terhadap orang lain, tanpa mengira bangsa atau agama mereka. Ia lebih mengecewakan apabila orang ramai tidak menyuarakannya.

"Saya terlepas sepakan penalti sebelum ini. (Pastinya) anda tidak mahu terlepas sepakan penalti, khususnya ia merupakan peluang baik buat penyerang untuk menjaringkan gol dan jelas sekali ia adalah detik yang besar.

"Sebagai individu, saya sentiasa selesa dan menikmati detik-detik besar jadi saya berharap saya ditugaskan untuk mengambil sepakan penalti dalam kejohanan ini.

"Saya tidak sabar untuk melakukannya."