Pep Guardiola tidak mahu lepaskan peluang dengan menambah Piala Dunia Kelab dalam kutipan trofi Manchester City.

City yang meraih treble Liga Juara-Juara, Liga Perdana dan Piala FA musim lalu, berada di Arab Saudi untuk berdepan juara Asia, Urawa Red Diamonds dalam aksi separuh akhir esok.

Guardiola sedar The Citizens yang jadi pilihan utama kejohanan itu tetapi tidak ambil mudah.

Guardiola memberitahu pemberita pada sidang akhbar pra-perlawanannya: “Sukar untuk berada di sini, ia satu penghormatan.

“Ini kali pertama Man City berada di sini. Itu menunjukkan betapa sukarnya. Kami tidak akan mengambil mudah. Kami menganggapnya sebagai satu keistimewaan.

“Sudah tentu kami mahu memenanginya. Ia adalah trofi yang tidak kami miliki. Kami telah memenangi semua trofi dan ini adalah yang terakhir.

"Saya tidak tahu sama ada kita akan mempunyai peluang lagi. Mungkin ia adalah sekali seumur hidup. Sukar untuk berada di sini.

“Saya rasa pemain tahu dan kami akan cuba beraksi dengan baik esok.”