Sempena Piala ASEAN Mitsubishi Electric 2024, sebuah klinik bola sepak akar umbi telah diadakan di Malaysia yang menawarkan mekanisme khas dari Jepun bersama legenda Harimau Malaya, Amri Yahya, Mahali Jasuli dan Norshahrul Idlan Talaha.

Penaja rasmi, Mitsubishi Electric, menerapkan teknik istimewa yang dipanggil Kaedah Okada -- satu gaya permainan yang memerlukan kemahiran berfikir secara strategik ketika perlawanan.

Kaedah Okada ialah falsafah kejurulatihan dan metodologi yang direka oleh bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jepun, Takeshi Okada.

Okada merupakan jurulatih pertama yang membawa negara Matahari Terbit itu ke pusingan akhir Piala Dunia, serta berjaya membimbing pasukan itu bersama pemain seperti Hidestoshi Nakata dan Shinjo Ono yang mampu bersaing menentang Argentina, Croatia dan Jamaica.




Keseronokan dan pembelajaran untuk kanak-kanak itu turut disertai oleh Dobashi Isao yang merupakan penyelia remaja di FC Imabari, pasukan Liga J3 dari Jepun untuk menyampaikan ilmu Kaedah Okada kepada sekumpulan jurulatih tempatan terpilih.

Legenda itu bukan sahaja menyampaikan pengetahuan tentang permainan ini kepada pemain baru tetapi juga mengambil bahagian dalam beberapa latihan, menambah pengalaman yang diperoleh oleh para peserta yang terdiri daripada pemain muda dari Akademi Shah Alam Rovers dan Kelab Bola Sepak Aurora Kickers.

"Apa yang diajar adalah asas yang diperlukan oleh setiap pemain - hantaran dan sokongan.

“Ia adalah aspek yang sangat penting dalam bola sepak. Jika seseorang dapat menguasainya, ia akan menjadi sangat bermanfaat," kata Mahali.