Tonggak penyerang Harimau Malaya, Fazrul Amir, percaya pengalaman beraksi dalam dua perlawanan antarabangsa November lalu berikan keyakinan buat dirinya untuk terus bersaing rebut tempat dalam kesebelasan utama saingan Piala AMEC 2024.

Meskipun menyedari dirinya selaku pendatang baru, pemain Kelantan Darul Naim berusia 24 tahun itu memberikan jaminan dia akan berusaha sehabis-baik untuk membantu Malaysia sekaligus membuktikan kemampuannya selaku prospek masa depan Harimau Malaya.

Pemain yang mesra disapa dengan panggilan Ghaddar itu juga mengakui dia tidak berdepan sebarang masalah untuk memahami serta mengikut corak taktikal yang dimahukan oleh ketua jurulatih, Pau Marti.

Fazrul meraih kap sulungnya bersama skuad kebangsaan ketika menentang Laos di Bangkok, Thailand 14 November lalu.

"Saya sangat gembira kerana dapat beraksi dalam skuad kebangsaan. Dapat beraksi dalam dua perlawanan terdahulu membantu saya mendapatkan keyakinan untuk memburu kesebelasan utama dalam saingan Piala AMEC nanti," katanya.