Perak FC sedang mengintai beberapa pemain yang akan mengejutkan peminat dalam usaha memperkuatkan pasukan musim hadapan.

Perkara itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih, Yusri Che Lah, bahawa beberapa pemain baharu akan dibawa masuk jika keadaan mengizinkan.

"Saya dan pihak pengurusan telah bekerja keras dalam masa terdekat ini dan kita telah mengenal pasti pemain-pemain yang akan dibawa masuk terutama untuk memperkuatkan barisan pemain sedia ada.

"Kami akan membawa masuk pemain-pemain yang boleh saya katakan seandainya berlaku, ia sesuatu yang mengejutkan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Perak FC menentang Sabah FC di Stadium Perak malam tadi.

Bagaimanapun, Yusri berkata perkara itu masih perlu bergantung kepada bajet pasukan sama ada bersesuaian atau sebaliknya.

Katanya, tumpuan lebih terarah kepada bahagian serangan kerana pasukan Perak tidak memiliki penyerang tulen selain memantapkan lagi bahagian tengah dan pertahanan.





"Kami ingin memberikan kekuatan tambahan yang mana kami boleh beraksi baik di bahagian pertahanan dan tengah tetapi serangan kami agak terkebelakang.

"Apa yang boleh dikatakan ketika ini tak banyak perubahan akan berlaku tetapi kami akan memasukkan pemain baru untuk memberikan lebih saingan," katanya.

Dalam pada itu, Yusri turut mengesahkan bahawa pemain tengah, Azalinullah Alias, akan terus bersama pasukan musim hadapan.





Kredit: Sinar Harian