'Nak makan ikan besar, umpan kena besar' - itu adalah realiti yang semua orang perlu terima bahawasanya jika keperluan pemain berdarah warisan mahu dijadikan sebagai kekuatan penting skuad revolusi Harimau Malaya bermula 1 Januari 2025.

Menukar kewarganegaraan bukan sesuatu yang mudah andai negara pilihan kedua tidak menjamin keistimewaan ketara buat bakal pemain berkualiti yang ingin dijadikan naturalisasi untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

Bekas pengurus skuad kebangsaan, Datuk Kamarul Ariffin, optimis pendekatan presiden Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia, Erick Thohir, merupakan modul paling tepat untuk dijadikan contoh terbaik.

"Mekanisme yang terbaru kita perlu menjejaki pemain warisan yang beraksi di liga-liga Eropah dan saya percaya ramai berada dalam senarai sekarang.

"Apa yang dilakukan Erik Thohir bahawa untuk menjejaki pemain ini dengan sekadar menghantar email sahaja, kita perlu yakinkan mereka mengapa dia perlu menukar kerakyatan mereka dari Belanda ke Malaysia contohnya," katanya.

Kamarul turut menjelaskan pihak sekretariat FAM perlu memainkan peranan sebenar sebagai wakil badan induk, ketika sudah ada figura seperti pemilik kelab Johor Darul Ta'zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sudah tampil ke depan untuk menyumbangkan bantuan.

"Mereka bermain bukan sekadar lencana di dada tetapi perkara sampingan itu perlu seperti imbuhan. Saya yakin dibawah Tunku Ismail Sultan Ibrahim segala kelengkapan dalam keadaan terbaik. Mungkin sebelum ini banyak kekurangan." tambahnya.