Penyerang Leicester City, Ahmed Musa, dan pemain muda Manchester City, Kelechi Iheanacho, melupakan kempen yang mengecewakan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2016-17 apabila menampilkan aksi memukau untuk membantu Nigeria mencatat kemenangan 3-0 ke atas Togo dalam perlawanan persahabatan di Paris, semalam.

Musa yang menyertai juara musim 2015-16, Leicester City, pada awal musim lalu hanya berjaya melakukan tujuh permulaan walaupun perpindahannya yang bernilai GBP16 juta memecahkan rekod kelab.

Nasib sama menimpa Iheanacho, 20 tahun, yang hanya beraksi dalam kesebelasan utama skuad The Citizens sebanyak tujuh kali selepas menjadi pilihan ketiga di belakang Sergio Aguero dan Gabriel Jesus.

Bagaimanapun, kedua-duanya tampak melupakan kisah itu apabila tampil cemerlang ketika menentang Togo.

Pemain Arsenal, Alex Iwobi, turut turun dengan aksi mengagumkan apabila mencatat nama dalam bantuan jaringan sebanyak dua kali.

Hantaran lintang Iwobi gagal diselamatkan penjaga gol Togo, Fatao Alhassani Dida, membolehkan Musa mudah menjaringkan gol pertama Nigeria sebelum menambah gol peribadi kedua yang juga selepas menerima hantaran daripada pemain sayap Arsenal itu.

Jurulatih, Gernot Rohr, terpaksa ke Paris tanpa beberapa tonggak utama seperti John Obi Mikel, Victor Moses, Ogenyi Onazi dan Carl Ikeme, namun tetap mampu meraih aksi bertenaga daripada anak buahnya apabila Iheanacho menjaringkan gol ketiga untuk memastikan kemenangan buat Super Eagles.