AC MILAN 4 UDINESE 2

Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, berkata pasukannya tidak boleh mengulangi kesilapan pertahanan sewaktu menewaskan Udinese dalam perlawanan pertama Serie A awal pagi tadi menjelang aksi menentang Atalanta minggu depan.

Rossoneri memulakan tugas mempertahankan kejuaraan mereka dengan kemenangan 4-2 ke atas Udinese di San Siro tetapi mereka perlu bangkit daripada ketinggalan selepas dibolosi seawal 90 saat pertama gara-gara tandukan Rodrigo Becao susulan satu sepakan sudut.

Gol penalti daripada Theo Hernandez dan jaringan Ante Rebic kemudian memperlihatkan mereka kembali mengawal keadaan tetapi Adam Masina memastikan kedua-dua pasukan terikat sebelum ke bilik persalinan.

Brahim Diaz kemudian memerlukan tempoh kurang seminit selepas perlawanan bersambung untuk kembali meletakkan Milan di depan sebelum Rebic memutlakkan kemenangan mereka pada 20 minit terakhir.

Ketika Pioli tidak menggemari cara pasukannya dibolosi dua gol, dia mengakui bahawa barisan pemainnya telah berhasil bangkit dan mempamerkan aksi seperti mana mereka menamatkan penantian 11 tahun Scudetto musim lalu.

"Saya tidak gemar kami dibolosi terlalu awal, kami perlu bermula dengan lebih baik," katanya kepada DAZN.

"Kemudian, kami melalui setengah jam yang hebat berdepan lawan yang amat berbahaya dan bermain secara fizikal.

"Kami dibolosi dua gol daripada lintangan, kami perlu melakukannya dengan lebih baik, Kami akan menilai segala-galanya dan menghadapi setiap situasi dengan lebih baik.

"Adakalanya, kami lebih berkeyakinan ketika bertahan agak tinggi berbanding ketika di depan kawasan penalti kami.

"Ini adalah kesilapan yang serius dan kami tidak boleh mengulanginya sewaktu berdepan lawan seperti Atalanta Ahad depan," katanya.