Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, menggesa penjaga gol antarabangsa England, Aaron Ramsdale, kekal di Arsenal walaupun kehilangan posisi utama kepada David Raya.

Raya menyertai The Gunners secara pinjaman daripada Brentford pada musim panas lalu dan telah merampas peranan Ramsdale sebagai nombor satu.

Ramsdale, 25, yang telah membuat empat penampilan penuh bersama England sekadar membuat tiga penampilan kelab sejak awal September kini dikaitkan dengan Newcastle.

"Saya mahu Aaron bersama kami," kata pengurus itu.

“Saya sangat gembira mempunyai dua penjaga gol yang sangat baik dan Aaron kekal bersama kami.

"Kami mahu menjadi lebih baik, jadi kami mahu menambah apa yang kami sudah ada. Itulah niat yang kami ada."

Ramsdale memulakan kesemua 38 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sepanjang 2022-23 ketika The Gunners mencabar Manchester City untuk perebutan gelaran.

Dia menjadi pilihan pertama pada awal 2023-24 dengan memulakan empat perlawanan pembukaan liga tetapi khidmat Raya lebih digemari ketika mereka bertandang ke Everton pada 17 September lalu sebelum mengukuhkan posisinya.

Sejak itu, kelibat Ramsdale telah dihadkan kepada dua perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL) dan penampilan EPL menentang Brentford memandangkan Raya tidak layak menentang kelab induknya.

A post shared by Aaron Ramsdale (@aaronramsdale)



Newcastle -- yang mana pengurusnya, Eddie Howe, menandatangani Ramsdale untuk Bournemouth pada 2017 -- dilaporkan sentiasa memantau situasi semasa dan berpotensi membuat tawaran pada bulan depan berikutan kecederaan bahu yang dialami penjaga gol The Magpies, Nick Pope, dalam kemenangan 1-0 ke atas Manchester United, kelmarin.

Apabila didesak sama ada dia boleh melepaskan Ramsdale dalam jendela perpindahan bulan depan, Arteta menambah: "Saya tidak akan berbuat demikian kepada mana-mana pemain. Mana-mana pemain.

"Saya tidak dapat memberi jaminan bahawa tiada pemain Arsenal yang akan berpindah depan. Atau dia akan kekal di sini untuk tiga tahun akan datang.

"Saya tidak berkata bahawa tiada pemain akan ke Newcastle. Atau tiada ahli kakitangan yang pergi. Saya tidak mengatakannya. Jika anda berkata ya atau tidak, saya tidak mahu menjawabnya.

"Saya tidak boleh beri jaminan bahawa tiada siapa yang akan angkat kaki Januari depan. Untuk Newcastle mahupun mana-mana kelab lain. Jadi jawapannya adalah tidak."