Pemain muda berbakat besar yang mengharumkan nama negara dengan beraksi di Eropah, Luqman Hakim Shamsudin, kini berhadapan keputusan teramat penting dalam menentukan masa depan kerjayanya.

Jika diimbas kembali, perjalanan pemain berusia 21 tahun ini di Eropah bermula tiga tahun lalu apabila berjaya meraih peluang beraksi bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

Dia berjaya menjaringkan gol kemenangan dalam aksi persahabatan menentang pasukan BX Brussels tetapi kemudian tidak diberikan banyak peluang untuk beraksi secara konsisten.

Pada bulan Februari tahun ini, Luqman dipinjamkan pula ke pasukan divisyen dua Iceland, Njardvik FC.

Di sebalik tempat tinggal barunya itu memiliki malam yang lebih panjang daripada siang dan tahap kesejukan yang dirasakan hingga ke tulang, dia berjaya menjaringkan dua gol dalam 11 penampilan secara keseluruhan.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu membuka akaun jaringannya bersama Njardvik FC ketika menewaskan KFA 4-1 dalam perlawanan pusingan 32 Piala Iceland pada 20 Apil lalu – menyusuli penampilan pertamanya sebagai kesebelasan utama ketika menentang Augnablik, 12 hari terdahulu.

Pilihannya untuk menyertai Njardvik FC pada awal Februari lalu adalah untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan di peringkat senior.

Malangnya, tempoh pinjamannya di Iceland tidak dilanjutkan dan dia kini kembali bersama Kotrijk – hasil perjanjian kontrak lima tahun yang ditandatanganinya pada 20 September 2019 -- di mana peluangnya untuk beraksi dalam kesebelasan utama sama sekali tidak wujud.

Dalam temu bual yang disiarkan menerusi laman Tiktok Harimau Malaya, Luqman berkata dia bercadang untuk berpindah ke pasukan baru seawal Januari ini tetapi destinasinya masih dirahsiakan dan hanya akan diumumkan kemudian.

Selangor FC yang tampil naib juara Liga Super 2023 adalah antara yang diuar-uarkan berminat mendapatkannya tetapi spekulasi itu segera lenyap apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dilaporkan tidak memiliki sebarang perancangan seumpamanya.

Di sebalik pengalaman berharga pemain ini, kelibatnya yang tersenarai dalam skuad bawah 23 tahun kebangsaan mengundang kritikan pelbagai pihak.

Pada September lalu, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail, memberikan pendapat bahawa peluang untuknya beraksi bersama skuad B-23 lebih wajar diberikan kepada pemain lain yang lebih layak kerana dia melihat Luqman lebih banyak berlari-lari sahaja di atas padang berbanding membantu penyerang menjaringkan gol dalam aksi Kelayakan Piala Asia B-23 di Thailand.

Pada pengamatan Jamal, pemain yang menyarung jersi pasukan kebangsaan haruslah dipilih berdasarkan merit, bukannya kerana pengalaman beraksi di negara luar.

Pendapat itu disokong oleh bekas pemain kebangsaan, Lim Chan Yew, yang menggesa agar Luqman menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pemain lain yang beraksi dalam liga tempatan.

Chan Yew bagaimanapun mempertahankan keputusan pengendali skuad B-23, E. Elavarasan, yang menyenaraikan Luqman kerana dia turut percaya kehadiran pemain itu akan memperkuatkan pasukan, tetapi tidak ada gunanya Luqman beraksi di luar negara jika prestasinya tidak setanding dengan pemain lain.

Kata-kata kedua-dua tokoh berkenaan sememangnya benar kerana apa yang dimahukan oleh kesemua pihak adalah pemain yang mendatangkan perbezaan besar sewaktu beraksi di atas padang.

Pengalaman bersaing di kancah Eropah seharusnya Luqman jadikan sebagai pemacu kejayaan pasukan dan dirinya harus dianggap sebagai penanda aras tahap kemampuan seorang pemain muda.

Sememangnya kekurangan peluang untuk beraksi secara konsisten bersama kelab Eropah adalah tertakluk kepada pelbagai faktor, antaranya pendirian pengendali pasukan masing-masing.

Tetapi apa yang telah dialami dan dipelajari oleh Luqman merupakan sesuatu yang wajar dikongsi serta dipamerkan demi kejayaan skuad muda.

Semoga destinasi seterusnya merupakan tempat yang lebih baik untuk Luqman menyerlahkan potensi sebenarnya.