Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin, yang kini berada di bumi Eropah, sekali lagi ‘bersendirian’ meraikan Hari Raya Aidilfitri tanpa keluarga di sisi.

Selepas dua tahun beraya di Belgium, tahun ini pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 21 tahun itu menyambut Aidilfitri di Iceland.

“Bila sebut pasal raya (Aidilfitri), satu perkataan terlintas di fikiran adalah semua masakan ibu saya (Hasmah Che Soh).

“Ini adalah tahun ketiga saya tak beraya bersama-sama keluarga tercinta. Jadi, saya harap tahun depan dan raya seterusnya dapat bersama keluarga, Insya-Allah.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin kepada seluruh rakyat Malaysia dan seluruh keluarga saya tercinta,” kata Luqman Hakim di laman sosial Instagramnya.

Luqman Hakim kini mewakili kelab Liga Iceland, FC Njardvik, selaku pemain pinjaman selepas dua tahun menyarung jersi kelab Liga Belgium, KV Kortrijk.

Perpindahan Luqman Hakim ke Iceland pada Februari lalu bagi membolehkan graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu mendapat minit permainan.

Menjelang sambutan Aidilfitri pada Jumaat lalu, Luqman Hakim meledakkan gol pertamanya ketika membantu FC Njardvik mengatasi KFA 4-1 dalam perlawanan pusingan 32 Piala Iceland.

Kredit: Sinar Harian