Kemenangan pertama Negeri Sembilan di laman sendiri musim ini dimeriahkan dengan kehadiran bekas jurulatih Selangor, Nidzam Jamil, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Ia sekali gus, merekodkan kemenangan kedua Sang Rusa bertemu lawan yang sama iaitu Sri Pahang dalam kempen Liga Super Malaysia.

Kelibat Nidzam Jamil menjadi persoalan di kalangan peminat tempatan sambil membuat andaian bahawa dia akan mengemudi skuad Hoben Jang Hoben selepas ini.

Menurut wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, jurulatih berusia 44 tahun itu difahamkan bakal menyertai kem pasukan kedua terbawah liga itu dengan misi memperbaiki prestasi skuad tersebut.
Begitupun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Negeri Sembilan, Faliq Firdaus, menolak kebarangkalian itu sambil menegaskan bahawa pasukannya tidak akan melakukan sebarang perubahan musim ini.

"Tidak benar. Tiada lagi perubahan akan berlaku.

"Kelab akan terus menyokong kepimpinan K. Nanthakumar untuk mengubah situasi terkini," katanya di laman X.