SELANGOR 2 KELANTAN DARUL NAIM 0

Dua gol Ronnie Fernandez memastikan Selangor kekal berada di tangga kedua Liga Super dengan menewaskan Kelantan Darul Naim 2-0 di Stadium MBPJ sebentar tadi.

Perlawanan kali ini juga menyaksikan pemain sayap, Faisal Halim, kembali beraksi buat kali pertama selepas indisiden disimbah asid pada Mei lalu.

Di sebalik asakan bertali arus Selangor sepanjang babak pertama, mereka sukar menembusi benteng Kelantan United, yang lebih gemar mempraktikkan corak bertahan sambil sekali-sekala memberikan ancaman menerusi serangan balas.

Bagaimanapun, segalanya berubah dalam separuh masa kedua apabila Fernandez memecahkan kebuntuan pada minit ke-66 menerusi jaringan akrobatik gemilangnya.

Pemain kebangsaan Chile itu kemudian menggandakan jaringannya berselang 20 minit dengan menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Fahrurrozi Suhirman.

Selepas jaringan itu, tumpuan terarah kepada Faisal, yang masuk sebagai pemain gantian dengan topeng muka khasnya.

Faisal mempamerkan aksi luar biasa, di mana dia hampir menghasilkan bantuan jaringan, bahkan tandukannya yang terkena palang hampir memberikan gol ketiga buat Gergasi Merah.

Dengan kemenangan itu Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 16 mata manakala Kelantan pula terus berada di tangga terbawah dengan tiga mata selepas lapan perlawanan.