MIDDLESBROUGH 1 BURNLEY 2

Burnley memastikan kepulangan ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menewaskan Middlesbrough 2-1 dalam perlawanan Liga Kejuaraan di Stadium Riverside awal pagi tadi.

The Clarets tersingkir ke Liga Kejuaraan pada hari perlawanan terakhir musim lalu, sekali gus menamatkan tempoh enam tahun mereka dalam saingan EPL.

Bagaimanapun, mereka hanya memerlukan satu musim di bawah bimbingan Vincent Kompany untuk kembali ke saingan divisyen utama itu, di mana mereka hanya tewas sebanyak dua kali sepanjang kempen 2022-23.

Gol daripada Ashley Barnes dan Connor Roberts, yang mengapit jaringan penalti Chuba Akpom buat Middlesbrough, memastikan kemenangan penting itu buat Burnley.

Ia juga merupakan kemenangan ke-25 mereka musim ini dan ia bermakna, Burnley mengesahkan kelayakan ke EPL lebih awal berbaki tujuh lagi perlawanan.

The Clarets kini gah di tangga teratas liga dengan berkelebihan 11 mata di atas pencabar terdekat, Sheffield United, yang masih berjuang untuk merebut satu lagi tempat ke EPL selepas diturunkan liga pada 2021.

The Blades, bagaimanapun, masih berkelebihan lapan mata berbanding pasukan di tangga ketiga, Luton Town, juga dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan.