Serian FA berpeluang mengulangi kejayaan abangnya, Kuching FA, apabila memiliki kelebihan satu gol dalam aksi pusingan pertama perlawanan akhir Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) menentang Gua Musang FA di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Penyerang Serian FA, Mahadi Razak, menjadi duri dalam daging buat Gua Musang FA apabila melepaskan ledakan deras dari luar kotak penalti pada minit ke-48 untuk meletakkan wakil Sarawak itu di hadapan.

Ia agak menghampakan bagi Gua Musang kerana anak-anak buah Ruhaled Hamid ini bermain dengan cukup baik dan mengawal aksi.

Biarpun deretan peluang diwujudkan, namun sentuhan penyudah yang tidak kemas serta ketangkasan penjaga gawang, Rizal Ahmad, menafikan hasrat Gua Musang.

Gua Musang layak ke final selepas mengalahkan wakil Sabah, Keningau, dengan agregat 4-2 manakala Serian mengecewakan satu lagi wakil Kelantan, Bachok, juga dengan agregat sama.

Serian FA perlu mempertahankan jaringan tersebut, malah lebih penting menambah jaringan jika tidak mahu kempunan bergelar juara pada 21 Mei ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian , Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, ketika dihubungi berkata kemenangan Serian FA itu amat membanggakan.

"Saya berharap mereka akan dapat memenangi pusingan kedua, seterusnya dinobatkan sebagai juara.

" Mereka perlu bekerja lebih keras sedikit kerana sebelah kaki sudah ke arah itu," katanya lagi.

Menjadi harapan besarnya agar kemenangan ini akan menyuntik semangat kepada Persatuan Bola Sepak Sarawak dan juga pemain-pemainnya untuk terus berusaha mencapai kemenangan dan cemerlang.

Dan ia akan menjadi kejuaraan pertama yang dinikmatinya selaku menteri penuh baharu yang bertanggungjawab terhadap sukan di Bumi Kenyalang.

Sementara itu, bagi pengurus pasukan Kuching FA, yang kini beraksi dalam Piala FAM, Fazruddin Abdul Rahman, kejayaan ini menunjukkan kualiti pemain Sarawak kini setanding dengan mana-mana pemain di negara ini.

"Ini terbukti dengan kemenangan pasukan kita (Kuching) dalam LBR yang lepas dan sekarang, diserlahkan dengan kemengan pasukan Serian FA dalam pusingan pertama perlawanan akhir di Kelantan.

"Saya yakin, jika tumpuan diberikan sepenuhnya dan sokongan diterima daripada pelbagai pihak, insya-Allah kita di Sarawak ini akan mampu memberikan saingan lebih sengit dalam industri bola sepak di negara ini," katanya lagi.

Final timbal balik pusingan kedua akan dilangsungkan di Stadium Negeri, Kuching; lokasi yang sama 'sepak mula' pertandingan liga dimulakan sebelum ini.