Sergio Ramos kembali ke kelab zaman remajanya, Sevilla, apabila menandatangani kontrak setahun bersama pasukan Andalusia berkenaan.

Pemain berusia 37 tahun itu, yang merupakan bekas kapten Sepanyol dan Real Madrid, merupakan pemain ejen bebas selepas meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) pada Jun lalu.

Dia kini akan kembali ke Sevilla selepas 18 tahun meninggalkan pasukan itu untuk menyertai Real Madrid.

Sevilla mengumumkan dalam laman web rasmi mereka awal pagi tadi bahawa Ramos selesai menandatangani kontrak selama 12 bulan.

Kelab LaLiga itu berkata dalam laman web rasmi mereka: "Sevilla FC telah mencapai kesepakatan untuk menandatangani Sergio Ramos.

"Graduan akademi itu akan kembali ke pangkuan kelab ini selepas 18 tahun sebaik dia menyertai Real Madrid pada usia 19 tahun, pada 2005."