REAL MADRID 0 RAYO VALLECANO 0

Real Madrid gagal kembali ke tangga teratas LaLiga selepas pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu sekadar terikat 0-0 dengan seteru setempat, Rayo Vallecano, di laman sendiri awal pagi tadi.

Madrid memerlukan tiga mata untuk memintas pendahulu liga, Girona, dengan perbezaan jaringan tetapi mereka gagal menundukkan lawan biarpun menguasai penuh aksi di Santiago Bernabeu itu.

Vinicius Junior berhasil meletakkan bola ke dalam gawang pelawat pada pertengahan babak kedua tetapi jaringan itu dibatalkan selepas Joselu didapati terlebih dahulu berada di kedudukan ofsaid.

Keputusan itu juga menyaksikan Rayo Vallecano kini melewati lapan perlawanan LaLiga tanpa sebarang kekalahan walaupun enam daripadanya berakhir dengan keputusan seri.

Madrid, dalam pada itu, kini ketinggalan dua mata di belakang Girona dan berkelebihan dua mata di atas pasukan di tangga ketiga, yang juga seteru tradisi mereka, Barcelona.