Pengurus Barcelona, Xavi Hernendez, mengakui dia dan pemainnya memberontak di dalam hati berikutan tumbang dalam El Clasico tetapi berazam untuk kembali ke landasan tepat ketika menghadapi Real Sociedad.

Jude Bellingham melakar dua gol termasuk kemenangan dramatik pada masa kecederaan ketika Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Barca 2-1 hujung minggu lalu.

Pemain tengah England itu menjaringkan gol penyamaan yang menakjubkan selepas 68 minit permainan di Stadium Olimpik Lluis Companys itu sebelum menutup aksi El Clasico pertamanya dengan sepakan voli jarak dekat di penghujung perlawanan.

Tuan rumah mendahului melalui gol awal bekas kapten Manchester City, Ilkay Gundogan, tetapi kekalahan itu menyebabkan mereka kini ketinggalan empat mata di belakang pencabar utama mereka itu yang mengungguli LaLiga dengan perbezaan gol dengan Girona.

Anak buah Xavi berdepan tugas sukar untuk mengembalikan rentak kemenangan apabila ke Sociedad yang menghuni tangga kelima LaLiga setelah memenangi tujuh daripada sembilan perlawanan terakhir.

“Perlawanan ini akan menjadi ujian yang sukar,” kata Xavi di laman sesawang rasmi kelab.

“(Pengurus Sociedad) Imanol Alguacil telah melaksanakan tugas yang hebat, dia menerapkan keamatan dan permainan yang bagus menerusi pemainnya.



"Bagi kami, kami perlu meningkatkan prestasi sendiri dan terus merendah diri dalam usaha mengurangkan jurang empat mata dengan pendahulu.

“Dan pertembungan ini adalah senario yang ideal untuk membuktikan keupayaan. Kami sentiasa mengejar kecemerlangan. FC Barcelona tidak pernah puas selain daripada kemenangan.

“Kami perlu lebih bersedia di gelanggang yang sukar. Kami tidak berpuas dan membentak di dalam hati jadi kami perlu menebus kesilapan kami.

"Kami perlu fokus kepada butiran kecil dan kami tidak lagi mampu hilang tumpuan."