SEVILLA 1 REAL MADRID 1

Gol tandukan Dani Carvajal pada minit ke-78 memastikan mata penting buat pendahulu LaLiga, Real Madrid, selepas mengikat Sevilla 1-1 di Estadio Ramon Sanchez Pizjuan awal pagi tadi.

Pasukan bimbingan Carlo Ancelotti itu berdepan dua gol yang dibatalkan sebelum David Alaba terjaring ke gawang sendiri pada minit ke-74, sekali gus memberikan bayangan bahawa mereka akan menghadapi kekalahan kedua musim ini.

Bagaimanapun, hasrat Sevilla untuk meraih kemenangan pertama sejak dibimbing Diego Alonso tidak kesampaian apabila Carvajal menanduk masuk bola daripada sepakan percuma Toni Kroos untuk memastikan satu mata buat Los Blancos.

Satu mata itu kelihatan penting buat Madrid memandangkan mereka akan berdepan seteru utama, Barcelona, dalam aksi El Clasico hujung minggu depan.