Pemain tengah Real Madrid, Aurelien Tchouameni, mengegaskan bahawa pemain Barcelona, Gavi, bukan punca dia mengalami kecederaan dalam aksi El Clasico LaLiga hujung minggu lalu.

Tchouameni mengalami retak tulang kaki ketika Madrid meraih kemenangan 2-1 dalam perlawanan di Stadium Olimpik Barcelona itu.

Menjawab dalam satu kiriman media sosial yang memaparkan video pertembungannya dengan Gavi dalam perlawanan berkenaan, pemain kebangsaan Perancis itu berkata: "Ia bukan salah Gavi. Saya mengalami kecederaan pada penghujung babak pertama."

Real berkata dalam satu kenyataan hujung minggu lalu: "Selepas ujian yang dijalankan khidmat kesihatan Real Madrid ke atas pemain kami, Aurelien Tchouameni, dia disahkan mengalami keretakan kecil di metatarsal kaki kirinya."

Dalam perlawanan itu, Madrid bangkit daripada ketinggalan satu gol dengan jaringan berganda Jude Bellingham, di mana pemain kebangsaan England itu menjaringkan gol kemenangan dalam waktu kecederaan.