Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menegaskan pasukan Harimau Selatan telah mencipta pelbagai kejayaan biarpun ada sesetengah pihak yang sebelum ini membenci kelab itu.

Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, pengurusan yang betul juga menjadi faktor JDT menggapai kejayaan tidak kira dalam pasukan senior mahupun pelapis dalam setiap peringkat umur.

"Kalau kepala betul, ekor pun betul. Daripada atas sehingga ke bawah. Inilah JDT.

"11 tahun... lagi mereka membenci, tidak terima kenyataan dan cuba memperkecilkan kehebatan kelab ini, lagi macam-macam kejayaan ALLAH kurniakan dalam setiap aspek," katanya dalam InstaStory miliknya.

Tunku Ismail turut berkongsi gambar JDT IV yang telah berjaya memenangi Piala Belia selepas menundukkan Terengganu IV dengan agregat 7-5 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Jumaat.

Sebelum ini, JDT III juga telah mencipta kejayaan memenangi Piala Presiden buat kali ketiga berturut-turut menewaskan Selangor FC baru-baru ini.

Selain itu, JDT II juga berada di kedudukan teratas Piala MFL selain JDT bawah 14 tahun (B-14) muncul juara dalam saingan Piala Supermokh.

Kredit--Sinar Harian