Krisis ketandusan kejayaan sukan Malaysia menuntut kerjasama yang erat antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dengan menyusun dasar polisi sukan yang menyeluruh dan bersepadu secara sistematik, agensi-agensi ini dapat bersama-sama membantu Malaysia mengatasi isu krisis sukan negara. KBS perlu berlapang dada, atlet yang hebat bermula di peringkat sekolah rendah (KPM) dan untuk melahirkan thinking athelete, universiti (KPT) adalah tempat yang tepat.

Sehingga kini, kita ketandusan emas Olimpik pertama negara, ketandusan layak ke Piala Dunia FIFA, ketandusan kejayaan Piala Thomas seperti 32 tahun yang lalu, ketandusan bakat sukan yang di katakan sukan tradisi negara kita seperti sepak takraw dan silat dan apa yang paling menyedihkan tiada peganti buat lagenda negara kita seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan lain-lain. Justeru itu, tindakan yang boleh diambil adalah meningkatkan sokongan terhadap program pembangunan bakat di peringkat akar umbi, sekolah dan universiti. Ini termasuk mengenal pasti bakat-bakat sukan yang berpotensi dan memberikan latihan yang berkualiti kepada mereka untuk pembangunan sukan negara.

Selain itu, pelaburan dalam infrastruktur sukan seperti tempat latihan, padang dan stadium perlu diambil peduli secara serius untuk menyokong latihan dan pertandingan sukan. Dengan pendekatan yang menggunakan kaedah sains sukan seperti penyediaan bilik gimnasium, bilik terapi, bilik analisis pergerakan dan lain lain. Malaysia mampu membangunkan landskap sukan yang lebih dinamik dan berjaya. Semua rakyat Malaysia telah melihat kejayaan JDT dalam sukan bolasepak Negara. Ia bermula dengan bajet kewangan dan perlaburan untuk menyediakan kemudahan bertaraf dunia untuk melahirkan atlet berkelas dunia seperti Arif Aiman (pemain bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT)) dan Hafiz Syahrin (pelumba JDT Racing Team).

Universiti menjadi gedung utama dalam melahirkan 'Thinking Athlete'. Penerapan budaya keilmuan, terutamanya dalam bidang sains sukan, diutamakan dalam setiap aspek seperti program, aktiviti, latihan, pertandingan, dan fasiliti sukan. Ini membantu meningkatkan kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan intelektual (IQ) atlet, membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih berkesan sebelum, semasa, dan selepas pertandingan. Dengan sokongan melalui penyelidikan, universiti menjadi tapak yang strategik dalam melahirkan atlet yang bukan sahaja berkualiti tinggi dari segi prestasi sukan, tetapi juga dalam pemikiran dan pengetahuan. Penubuhan fakulti AI yang baru di UTM, secara tidak langsung memperkasakan kajian teknologi dan AI sukan.

Formula kejayaan juara Olimpian dunia kini telahpun dikaji, dikongsi dan boleh dilihat melalui media massa seperti youtube dan sebagainya, ia bukan lagi perkara rahsia seperti satu ketika dulu. Untuk menjadikan atlet berkelas dunia, pendekatan holistik diperlukan dan ia bermula seawal bawah 12 tahun. Kenalpasti dan pembangunan bakat harus ditekankan sejak awal lagi dengan menyediakan latihan berkualiti. Latihan yang sistematik di bawah bimbingan jurulatih berkelayakan adalah penting untuk meningkatkan keupayaan fizikal, teknikal, taktikal dan mental atlet. Seterusnya, sokongan berterusan dari segi pemakanan, kebajikan, kewangan, pembangunan mental, dan pendedahan antarabangsa adalah faktor penting dalam melahirkan atlet yang berjaya di peringkat dunia.

Kelahiran jaguh dunia badminton Negara Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David Ann adalah bermula di peringkat sekolah rendah di mana penyertaan dalam sukan badminton dan skuasy secara kompetitif di peringkat awal lagi. Oleh sebab itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga adalah merupakan agensi penting untuk membantu negara mengatasi krisis ketandusan kejayaan sukan negara. Program 1 Murid 1 Sukan yang telah dianjurkan oleh KPM telah berjaya mendorong setiap murid untuk mengamalkan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidupnya. Melalui program ini, setiap murid diberi peluang dan sokongan untuk menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan yang diminati.

Secara tuntasnya, untuk menghasilkan atlet berkaliber dunia, sokongan yang kukuh di peringkat akar umbi dan pembangunan bakat sukan yang holistik secara bersepadu oleh semua pihak adalah sangat penting. Kita perlu waspada agar ia tidak menjadi kritikal dan krisis pada sukan negara kita pada satu hari nanti. Olimpik Paris adalah olimpik yang terakhir buat Dato Azizul Hasni Awang. Beliau adalah orang yang paling hampir akan memecahkan kebuntuan emas Olimpik pertama Malaysia. Tetapi, adakah kita sudah jumpa pengganti yang layak untuk mengambil tempat beliau. Tepuk dada, tanya hati. Jika betul program kita berjaya, sudah pasti kita ada peganti Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David.

Oleh sebab itu, Model Triangulation perlu diaktifkan antara KBS, KPT dan KPM pada masa ini untuk meneliti semula polisi dasar sukan dan strategi pembangunan bakat sukan negara yang melibatkan semua pihak bertanggungjawab seperti agensi negeri dan pemain industri sukan agar selari dengan Impian Sukan Negara di mana sehingga kini kita masih belum berjaya mencapai emas Olimpik pertama dunia, layak ke Piala Dunia FIFA dan seterusnya. Dengan pendekatan holistik ini, Malaysia dapat membina landskap sukan yang dinamik dan berjaya serta memperoleh kejayaan di peringkat antarabangsa.

Disediakan oleh,
TS Dr Hadafi Fitri Mohd Latip
Pengarah Pusat Inovasi dan Teknologi Sukan UTM.