Ronald Koeman mengakui akan sangat sukar bagi pasukan Barcelona untuk mencabar Atletico Madrid dan Real Madrid untuk merebut gelaran LaLiga musim ini.

Barca seri 1-1 dengan Eibar di Camp Nou awal pagi tadi, Ousmane Dembele berjaya memastikan pasukan meraih satu mata untuk tuan rumah setelah Kike Garcia meletakkan skuad kendalian Jose Luis Mendilibar di hadapan.

Martin Braithwaite terlebih dahulu terlepas peluang menerusi sepakan penalti -- yang keempat berturut-turut daripada sepakan penalti -- sekaligus menyaksikan skuad kendalian Koeman kehilangan mata buat kali kelapan daripada 15 perlawanan musim ini.

Keputusan ini menyaksikan mereka tujuh mata di belakang kelab Atletico walaupun telah bermain dua perlawanan lebih banyak daripada pemimpin Atleti, dan Koeman mengakui cabaran merebut gelaran kelihatan samar.

"Anda harus bersikap realistik dan mengakui bahawa ia akan menjadi sangat rumit," katanya.

"Dalam hidup tidak ada yang mustahil, tetapi sekarang ada perbezaan besar poin dengan pemimpin, Atletico, yang melakukannya dengan sangat baik, memenangi hampir semua permainan mereka dan dibolosi sedikit gol. Ia akan menjadi sangat sukar."


Barca tanpa khidmat Lionel Messi, yang diberi masa tambahan untuk pulih daripada kecederaan pergelangan kaki.