Pemain tengah England, Ross Barkley, pasti akan meninggalkan Everton dan perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus, Ronald Koeman.

Barkley, yang menyertai skuad utama daripada pasukan muda Everton, tidak menandatangani kontrak baru pada musim lepas, sekaligus mewujudkan spekulasi dia bakal meninggalkan Goodison Park.

Situasi itu telah menarik minat beberapa pesaing Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk Arsenal dan Chelsea, sehingga membuat Everton terpaksa cuba mendapatkan pemain Swansea City, Gylfi Sigurdsson, sebagai pengganti.

Koeman menyifatkan dia tidak nampak masa depan Barkley bersama pasukannya dan hanya menunggu tawaran yang sesuai untuk melepaskan pemain berusia 23 tahun itu.

“Situasi Barkley tidak sukar. Kami menyediakan kontrak yang sangat bagus untuknya dan dia menolak. Dia memberitahu bahawa dia mahukan cabaran baru,” kata Koeman.

“Ia adalah keputusannya sendiri. Saya perlu menghormatinya dan sama-sama kita lihat kerana apa yang saya dan pihak pengurusan lihat, tidak ada tawaran lumayan buat Barkley ketika ini,” tambahnya.

Everton merupakan pasukan EPL paling aktif ketika jendela perpindahan dibuka selepas berjaya mendapatkan Davy Klaassen, Michael Keane, Jordan Pickford, Sandro Ramirez serta bekas kapten Manchester United, Wayne Rooney.