LIVERPOOL 3 LEICESTER CITY 1
Jurgen Klopp memuji impak dilakukan Dominik Szoboszlai di Anfield selepas pemain yang ditandatangani ketika musim panas lalu itu diturunkan dari bangku simpanan untuk meletakkan Liverpool ke pusingan 16 dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL) awal pagi tadi.
Liverpool terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pendahulu Liga Kejuaraan, Leicester City, 3-1 selepas Kasey McAteer membungkam Anfield seawal pada tiga minit perlawanan.
Tetapi selepas Cody Gakpo menyamakan kedudukan pada awal babak kedua, Szoboszlai melakukan rembatan pada minit ke-70, beberapa saat selepas dimasukkan sebelum Diogo Jota menyempurnakan gol terakhir pada lewat permainan.
Szoboszlai melepaskan rembatan kencang dari sudut kotak penalti, juga jaringan kedua peribadinya sejak perpindahan bernilai 60 juta pound dari kelab RB Leipzig musim panas lalu dan ia menjadi satu lagi petanda ke arah permulaan mengagumkan pemain berbangsa Hungary itu di Merseyside.
"Saya tidak perlu memberikan sebarang arahan untuk dia melakukan rembatan, dia tahu mengenai perkara itu dengan lebih baik berbanding saya," kata Klopp.
"Dia juga mempunyai kemahiran yang baik. Rembatan seterusnya juga meledak seperti bom. Ia adalah gol yang hebat."
Kehebatan yang ditunjukkan Szoboszlai di Anfield juga menjadi kunci kepada permulaan baik buat Liverpool musim ini, yang kini menduduki kedudukan kedua dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), dan mereka kelihatan telah menyelesaikan masalah utama di bahagian tengah.
Ditanya sama ada Szoboszlai menyesuaikan diri lebih cepat dari jangkaannya, Klopp menambah: "Saya lupa apa yang saya fikirkan terhadapnya pada mula dia mmenyertai tetapi sejak minit pertama latihan, ia cukup mengagumkan.
"Begitulah keadannya. Dia seorang pemain yang hebat, mudah untuk bergaul dalam pasukan, di bilik persalinan dan perkara-perkara seperti itu.
"Dia seorang pemain yang mempunyai keyakinan secara semula jadi dan itu membantu dirinya selain kerja keras yang dilakukan. Itulah hasil yang anda lihat hari ini."