Manchester City berdepan dakwaan Persatuan Bolasepak (FA) kerana gagal memastikan kelakuan pemain mereka dalam masa tambahan ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham, kelmarin.

Pemain City terutama Erling Haaland memberi reaksi marah apabila mereka dinafikan peluang untuk meneruskan permainan selepas penyerang Norway itu dikasari pada saat-saat akhir sebelum seri 3-3.

Haaland tidak mempedulikan terjahan Emerson Royal untuk meneruskan hantaran ke arah pintu gol buat Jack Grealish, namun pengadil Simon Hooper menghentikan permainan untuk memberikan tuan rumah itu sepakan percuma.

Sejurus wisel penamat, Haaland terus menyuarakan kemarahannya sambil meninggalkan padang selepas dan dia bertindak lebih jauh apabila mengkritik Hooper di media sosial.

“Manchester City telah didakwa melanggar Peraturan FA 20.1 selepas pemain mereka mengepung pegawai perlawanan dalam perlawanan EPL menentang Tottenham Hotspur pada Ahad 3 Disember 2023,” menurut kenyataan yang disiarkan di akaun Jurucakap FA di X.

Bernardo Silva turut berasakan City tidak menerima layanan adil tetapi mengakui pasukan itu juga perlu melaksanakan tugas mereka sendiri dengan lebih baik.

“Ia adalah keputusan yang buruk dan semua orang boleh melihatnya,” kata pemain tengah Portugal itu.



“Tetapi pada akhirnya kita semua adalah manusia.

“Pengadil mungkin adalah orang pertama yang tahu ia adalah keputusan yang sangat teruk kerana sedang Grealish bersemuka dengan penjaga gol dan ia boleh memberikan kami tiga mata.

"Ia adalah sesuatu yang sukar untuk diterima tetapi akhirnya itulah yang terjadi.

"Inilah bola sepak dan adakalanya orang membuat kesilapan."

Hooper juga difahamkan tidak akan diketepikan daripada meneruskan tugasan mengendalikan perlawanan Sheffield United melawan Liverpool, awal pagi Khamis ini.