Persiapan Manchester United untuk pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Brentford terganggu kerana penularan COVID-19.

Stats Perform difahamkan sejumlah kecil pemain dan kakitangan di kem The Red Devils dijangkiti pandemik itu selepas menang 1-0 di Norwich City, kelmarin.

Keseluruhan pasukan yang berkunjung ke Carrow Road pada awalnya diuji bebas COVID-19 dalam ujian rutin sebelum disahkan positif dan dihantar pulang sebelum mereka memulakan latihan semalam, tetapi mereka masih perlu menjalani sesi latihan individu dan tiada sentuhan.

Kelab itu difahamkan telah memberitahu penganjur Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang perlawanan menentang Brentford, Rabu ini.

Perlawanan membabitkan Brighton & Hove Albion dan Tottenham, semalam, terpaksa ditangguhkan selepas kem Spurs dilanda pandemik itu yang turut menyebabkan aksi Liga Persidangan Europa mereka dengan Rennes terpaksa dibatalkan.

Perlawanan Liga Kejuaraan di antara QPR dan Sheffield United awal pagi esok juga ditunda selepas kelab London itu tidak mampu memenuhi perlawanan itu berikutan beberapa kes positif dalam skuad mereka.

Kerajaan United Kingdom (UK) pada minggu lalu mengumumkan bahawa peminat yang menghadiri acara sukan dengan keramaian lebih daripada 10,000 orang perlu menunjukkan bukti lengkap dua dos vaksin selain ujian calitan semasa.

Perubahan peraturan itu yang akan berkuat kuasa pada Rabu ini merupakan antara langkah yang bertujuan mengurangkan penyebaran varian Omicron.

Tahap amaran COVID-19 di UK juga telah ditingkatkan daripada tahap tiga kepada empat. Pihak berkuasa berkata penularan virus dalam komuniti adalah tinggi dan walaupun kebanyakannya didorong oleh varian Delta, kemunculan Omicron meningkatkan lagi risiko selain peningkatan pesat di sektor awam dan kesihatan.