AUSTRALIA 0 PERU 0
(Australia menang penentuan penalti 5-4)

Australia layak ke Piala Dunia Qatar 2022 (World Cup Qatar 2022) dengan menewaskan Peru 5-4 dalam penentuan penalti selepas aksi sebenar perlawanan playoff antarabenua di Doha itu berakhir tanpa sebarang jaringan awal pagi tadi.

Ketua jurulatih Socceroos, Graham Arnold, melakukan tindakan berani apabila mengeluarkan penjaga gol dan ketua pasukan, Mather Ryan, untuk digantikan dengan Andrew Redmayne dalam penentuan penalti itu, di mana pemain gantian berusia 33 tahun berkenaan kemudian menyelamatkan sepakan Alex Valera untuk memastikan tiket kelayakan buat Australia.

Peru, yang berada di rangking ke-22 dunia, merupakan pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan berkenaan tetapi Australia muncul pasukan yang memberikan ancaman pada awal permainan, terutama menerusia Martin Boyle, yang mengatasi dua pertahanan Peru dari sebelah kanan sebelum melepaskan lintangan liar pada minit ke-23.

La Blanquirroja, bagaimanapun, hampir memperoleh gol kemenangan dalam masa tambahan, di mana pemain gantian, Edison Flores, melompat tinggi untuk melakukan tandukan ke 'far post' tetapi percubaannya sekadar hinggap ke palang gol lawan dan perlawanan itu terpaksa dilanjutkan ke penentuan sepakan penalti.

Kedua-dua pasukan hanya gagal sekali dalam lima sepakan pertama sebelum Awel Mabil menyempurnakan sepakannya dan Redmayne pula menyelamatkan tendangan Valera untuk Australia mara ke Piala Dunia buat kali keenam.

Dengan kemenangan itu, Socceroos akan menyertai Perancis, Denmark dan Tunisa dalam Kumpulan D apabila mereka kembali ke bumi Qatar bagi memulakan saingan Piala Dunia pada November depan.