CYPRUS 0 SCOTLAND 3

Scott McTominay meneruskan kempen cemerlangnya dalam pusingan kelayakan Euro 2024 apabila membantu Scotland menewaskan Cyprus 3-0, sekali gus kian hampir untuk layak ke Jerman tahun depan.

Pemain tengah Manchester United itu membuka jaringan seawal minit keenam di AEK Arena di Larnaca dan ia merupakan jaringan keenamnya dalam lima perlawanan sebelum Ryan Porteous melakukan percubaan voli untuk meraih gol dalam penampilan antarabangsa pertamanya berselang sembilan minit.

Tiga mata berkenaan disahkan pada minit ke-29 apabila McTominay menjadi pencetus kepada jaringan John McGinn untuk memberikan Scotland kelebihan tiga gol selain satu lagi percubaan bintang The Red Devils itu turut mengenai palang gol.

Pasukan bimbingan Steve Clarke itu kini memenangi kesemua lima perlawanan Kumpulan A dan mendahului pencabar terdekat, Sepanyol, dengan sembilan mata tetapi sudah beraksi lebih dua perlawanan dalam kempen kelayakan berkenaan.

Scotland seterusnya akan menghadapi England bagi aksi persahabatan istimewa pada awal pagi Rabu ini tetapi sekiranya Norway dan Georgia sekadar seri dalam aksi kelayakan pada hari yang sama, mereka akan layak secara automatik ke kejohanan utama itu buat kali kedua berturut-turut.