Gareth Southgate menasihatkan bintang England supaya tidak tertekan dengan perbincangan perpindahan musim panas selepas berseloroh skuad England saling bercakaran sepanjang kem latihan pusat kali ini.

England cemerlang sepanjang kelayakan Euro 2024 sementara perlawanan terakhir Kumpulan C menentang Macedonia Utara di Old Trafford laris bak goreng pisang panas.

England mencatat kemenangan 4-0 di Malta kelmarin dan dijangka akan layak ke temasya di Jerman itu sekiranya menang awal pagi esok.

Harry Kane, Declan Rice dan Kyle Walker menjadi subjek isu perpindahan musim panas, manakala Harry Maguire, Conor Gallagher dan Kalvin Phillips perlu membuat keputusan atas kekurangan minit permainan mereka di peringkat kelab.

Spekulasi juga tercetus mengenai Jordan Pickford dan James Maddison tetapi Southgate tidak berasakan perlu menawarkan nasihat kepada anak buahnya.

"Ia berlaku secara diam-diam jadi tiada apa yang boleh saya katakan mengenainya.

“Semuanya berjalan dengan seadanya, berjalan dengan sendirinya dan sebagai pemain ia tidak boleh dipaksa.

"Saya tidak perlu dikemas kini mengenai setiap panggilan yang berlaku.




"Terdapat banyak rundingan yang berlaku. Saya masih ingat lagi ketika bergelar pemain, saya begitu sibuk dengan setiap butirannya.

"Akhirnya, hanya ada sedikit yang saya dapat kawal.

“Saya fikir semua perkara seperti ini boleh direalisasikan kemudian hari pada musim ini dan pemain juga memahaminya.

“Dan mereka tahu tumpuan sepanjang 36 jam akan datang adalah mengenai perlawanan ini untuk menamatkan musim dengan baik selain memastikan kami mengumpul 12 mata.

"Kami akan berada di kedudukan yang sangat sihat jika kami melakukannya.”