Stale Solbakken mengakui ia satu tamparan besar buat Norway apabila kehilangan Erling Haaland menjelang aksi terakhir Kumpulan A pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Scotland awal pagi esok.

Bintang sensasi Manchester City itu mengalami kecederaan kaki ketika Norway menewaskan Kepulauan Faroe 2-0 dalam aksi persahabatan di Oslo pada Jumaat lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Norway dalam laman web rasmi mereka, doktor pasukan itu, Ola Sand, berkata: "Kecederaannya tidak serius tetapi dia sedang mengalami kesakitan yang menyaksikan terlalu awal untuk dia beraksi menentang Scotland."

Ketua jurulatih Norway, Solbakken, pula berkata: "Ia pasti sesuatu yang mengecewakan apabila Erling tidak dapat beraksi hujung minggu ini tetapi kami tidak akan membawa pengganti.

"Ini peluang terbaik untuk penyerang lain dalam pasukan ini untuk menyerlah," katanya.