Kelab itu turut mendedahkan bahawa pemain tengah kebangsaan itu telah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan berkenaan dan kini sedang berada dalam pemantauan pakar perubatan
"Dengan rasa berat hati, kami di Selangor FC ingin memaklumkan tentang keadaan ketua pasukan Selangor FC," kata kelab berkenaan dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi mereka.
"Untuk makluman, Brendan telah didapati menghidap kanser testis. Beliau telah berjaya menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan tersebut dan kini sedang dalam pemantauan pakar perubatan.
"Walaupun diuji, Brendan tetap optimis dan kuat. Semoga kita semua dapat terus mendoakan kesihatan dan memberikan privasi kepada beliau sepanjang tempoh pemulihannya.
"Brendan bertekad untuk kembali pulih secepat mungkin dan tidak sabar untuk kembali semula bersama pasukan. Seluruh warga SFC mendoakan agar Brendan cepat sembuh dan memohon semua penyokong untuk mendoakan yang terbaik buat beliau."
Pemain kelahiran Australia itu, yang turut pernah menyarung Jersi Perak, Kelantan dan Perth Glory, turut mengeluarkan satu kenyataan dalam laman sosial peribadinya bagi berkongsi mengenai keadaan kesihatannya.
"Kanser tidak akan menghentikan saya, ia hanya satu halangan pendek yang akan saya laluinya untuk kembali ke landasan seperti yang saya hidup sebelum ini.
"Motivasi saya adalah untuk melawan 'C' besar ini dan kembali ke luar sana untuk mengetuai pemain kami secepat mungkin," tulisnya dalam Instagram.