Juventus akan mengambil haluan berbeza dengan Andrea Pirlo dan menggantikannya dengan Massimiliano Allegri, demikian dilaporkan media-media di Itali semalam.

Jurulatih muda, Andrea Pirlo, menandatangani kontrak dua tahun bagi menggantikan Maurizio Sarri sebagai jurulatih skuad Bianconeri itu Ogos lalu tetapi pengendali berusia 42 tahun itu gagal menggendong tanggungjawab seperti yang diharapkan.

Bekas perancang Itali itu gagal membawa Juve memenangi gelaran Serie A ke-10 berturut-turut dan kini kelihatan akan menerima padahnya.

Media Itali, La Gazzetta dello Sport dan Corriere dello Sport, kedua-duanya melaporkan bahawa satu kesepakatan telah dicapai pasukan itu bersama bekas ketua jurulatih, Allegri.

Juventus layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas menamatkan liga di tempat keempat di mana Inter Milan memenangi Scudetto.

Mereka tersingkir daripada UCL di tangan Porto pada Mac lalu apabila tewas dengan peraturan gol di laman lawan dalam pusingan 16.