Erik ten Hag menyifatkan terlalu banyak ruang diberikan kepada pihak lawan untuk menjaringkan gol tetapi enggan untuk menyalahkan Andre Onana walaupun kesilapan penjaga gol itu di Galatasaray menghukum mereka dalam misi untuk mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Tewas tiga daripada empat perlawanan dalam Kumpulan A, pertembungan penting awal pagi tadi di Istanbul itu bermula baik apabila Alejandro Garnacho menjaringkan gol pembukaan United seawal minit ke-11.

Selang tujuh minit kemudian, Bruno Fernandes meledakkan satu lagi gol yang melebarkan jurang itu kepada 2-0.

Bagaimanapun, Galatasaray tidak ingin ke bilik persalinan dengan tangan kosong dan pemain sayap kanan, Hakim Ziyech, menyempurnakan sepakan percuma untuk mengecewakan Onana.

Memasuki babak kedua, Scott McTominay kembali memberikan sinar buat The Red Devils dengan jaringan ketiga pada minit ke-55.

Seperti episod sama berulang kembali, Andre Onana sekali lagi gagal menyelamatkan gawangnya daripada sepakan percuma Ziyech.

Selang beberapa minit, pemain gantian yang dibawa masuk, Kerem Akturkoglu, meledakkan gol ketiga Galatasaray, sekali gus mengikat Manchester United hingga ke tiupan wisel penamat.

Keputusan itu memberikan duka terdalam buat United yang menjadikan mereka pasukan tercorot dalam kumpulan A dengan hanya 14 gol dalam lima perlawanan.

“Kami menjaringkan gol dengan pantas pada awal permainan,” kata pengurus United, Ten Hag.

“Ia mengenai motivasi apabila anda sedang mendahului, apabila anda mendahului 2-0 dan anda perlu mengekalkan momentum itu. Ia tidak begitu mudah.

“Kami memberikan sepakan percuma dan kami sepatutnya perlu menjaga mereka dua kali ganda. Saya juga harus mengatakan bahawa Hakim beraksi dengan cemerlang, saya tahu itu. Dia memang luar biasa.

“Sebagai sebuah pasukan, kami perlu belajar daripada kesilapan yang memberi peluang kepada pasukan lawan untuk menjaringkan gol, yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Saya pasti pasukan kami cukup berpengalaman dan cukup berkemampuan untuk menguruskan perkara ini dan kami akan melakukan yang lebih baik.

“Apa yang menggembirakan ialah kemajuan yang kami lakukan dengan cara yang lebih baik diterjemaahkan di atas padang. Kami menentukan intensiti permainan, kami juga menjaringkan banyak gol – ia adalah mengenai rancangan, kreativiti, bersikap proaktif dan berani. Itu membuatkan saya gembira."

Kini Onana akan menjadi pusat tumpuan selepas membuat United terjerumus dengan keputusan seri awal pagi tadi, yang juga merupakan kesilapan keduanya yang turut menghukum pasukan itu ketika kalah sewaktu bertemu Bayern Munich pada 21 September lalu.