Masa depan Andres Iniesta terus menjadi tanda tanya selepas enggan meneruskan komitmennya untuk Barcelona apabila pemain veteran Sepanyol itu mahu menilai dahulu sumbangannya di Camp Nou.

Iniesta meletakkan masa depan bersama Barca dalam keraguan sebelum kemenangan dalam final Copa del Rey ke atas Deportivo Alaves, Ahad lalu, apabila dia mengakui tidak pasti sama ada akan kekal selepas kontraknya tamat pada 2018.

Pemain tengah berusia 33 tahun itu -- yang hanya bermula dalam 13 aksi LaLiga pada musim ini dengan Barca menyerahkan mahkota kepada musuh tradisi, Real Madrid -- tampil menjelaskan tetapi masa depannya belum pasti.

"Saya tidak pernah berkata saya tidak akan memperbaharui kontrak tetapi saya memilih untuk menilai banyak perkara berbeza," kata Iniesta -- pemenang 29 trofi di Barca -- kepada Onda Cero. "Ia bukan soal ekonomi.

"Terdapat beberapa faktor, termasuk soal peribadi, musim ini, dan ia bukan sesuatu yang mudah.

"Saya perlu membuat keputusan yang jujur ​​dan yang terbaik untuk semua orang."

Ernesto Valverde boleh membuat keputusan mengenai masa depan Iniesta selepas pelantikannya, hari ini.

Bekas ketua jurulatih Athletic Bilbao itu menggantikan Luis Enrique di kelab gergasi Catalan itu.

"Saya tidak tahu tentang Valverde sehingga ia diumumkan," kata Iniesta. "Saya berbincang dengannya beberapa kali tetapi tidak banyak.

"Saya percaya dia mempunyai pasukan sokongan besar yang bekerja keras dan berharap dia mempunyai tuah untuk kami mencapai sesuatu bersama-sama.

"Dia mempunyai wawasan yang baik dalam mana-mana pasukan yang dia berada setakat ini dan ini adalah satu lagi langkahnya."