Jika ditanya penyokong tegar Chelsea siapakah yang akan mereka nobatkan untuk anugerah pemain legenda sepanjang zaman buat The Blues, kemungkinan besar jawapannya akan berkisarkan tiga nama semata-mata – Gianfranco Zola, Frank Lampard ataupun Eden Hazard.

Zola telah menggantung but pada 2005, Lampard lebih sedekad kemudian pada 2017 dan Hazard mengumumkan persaraannya kelmarin setelah mengharungi tempoh yang cukup menderitakan semenjak meninggalkan Stamford Bridge.

Tidak seperti kedua-dua tokoh yang disebutkan, persaraan Hazard tidak diiringi oleh kegemilangan mahupun ucapan penghargaan penyokong. Apa yang ada hanyalah satu memori detik-detik manis dan ajaib yang pernah dihasilkannya suatu masa dahulu.

Imbas kembali sepanjang tujuh tahun Hazard bersama Chelsea, apa yang disajikan kepada penonton saban minggu adalah bagaikan persembahan seorang ahli silap mata tersohor.

Ada waktunya apabila Hazard mula menggelecek, semua pihak termasuk lawan secara automatik sedar bahawa gol akan dijaringkan dan tiada apa yang mampu mereka lakukan untuk menghentikan perkara tersebut daripada terjadi.



Ketika menentang Arsenal pada 2017, Hazard mula menggelecek dari tengah padang dan enam pemain lawan bersedia untuk menghalang, tetapi dia melepasi setiap seorang daripada mereka dengan penuh santai, malah mampu untuk melancarkan sepakan gol dari jarak yang cukup dekat dari dalam kotak penalti.

Sewaktu berhadapan dengan Liverpool pada 2018, hanya satu hantaran bantuan diperlukan sebelum Hazard mula menggelecek dengan pantas dari sebelah kanan padang dan melepaskan rembatan dari sudut yang tidak disangka-sangka -- menjadikan kesemua pemain serta penonton terkesima.



Hazard adalah pemain terbaik dunia ketika itu dan tiada yang setanding dengannya. Malang sekali, tempoh itu hanya bertahan buat seketika sahaja.

Tidak seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, dua pemain yang sudah mematrikan diri sebagai pemain terbaik sepanjang zaman, bakat dimiliki Hazard tidak digandingkan dengan usaha untuk memastikan bakat itu kekal terpelihara.

Satu laporan laman sesawang goal.com mendedahkan bahawa Hazard lebih gemar memilih untuk bermain permainan video sewaktu latihan hampir bermula dan akan turun ke padang tanpa memanaskan badan pun.

Biarpun tanpa sebarang persediaan, tiada sesiapa yang mampu merampas bola daripadanya sewaktu sesi latihan dijalankan. Mungkin perkara sebegitu menyuap egonya lalu menjadikan dia beranggapan latihan hanyalah perkara meremehkan dan tidak diperlukan untuk pemain sehebat dirinya.

Ada pelbagai lagi cerita tentang tingkah-laku Hazard di luar padang tetapi cukuplah untuk diketahui yang dia tidak menjadikan latihan sebagai prioriti utama.

Anjakan paradigma tiba buat Hazard pada 2019 sewaktu Real Madrid tiba dengan tawaran cukup lumayan.

Tahun itu menyaksikan Ronaldo meninggalkan Madrid untuk menyertai Juventus, dan Hazard dikenal pasti sebagai pengganti paling berkelayakan.

Hazard tiba ke sesi latihan pertamanya dengan berat badan melebihi 10 kilogram daripada piawaian ditetapkan.

Menurutnya, tempoh rehat setelah musim berakhir adalah waktu di mana dia melakukan apa sahaja yang dia mahukan, termasuk makan apa sahaja tanpa mempedulikan kesannya.

Tiada siapa tahu sama ada dia terlalu memandang enteng tahap permainan La Liga, ataupun terlebih yakin dirinya mampu meneruskan legasi menakjubkan bersama Chelsea tanpa sebarang masalah. Apa yang pasti adalah perpindahan itu merupakan detik permulaan kejatuhan Hazard.

Musim demi musim berlalu, kecederaan demi kecederaan serius dialami, tempoh beraksi di atas padang semakin lama semakin sirna.

Sepanjang tujuh tahun bersama Chelsea, Hazard menjaringkan 15 gol secara purata setiap musim tanpa gagal.

Empat tahun bersama Madrid menyaksikan dia sukar hendak menjaringkan sebanyak lima gol pun dan rekod akhirnya adalah tujuh gol dalam 76 penampilan.

Dalam salah temu bual sewaktu menanti pulih daripada kecederaan, Hazard berkata dia akan berhenti bermain bola sepak apabila tibanya hari dia tidak lagi merasakan nikmat kegembiraan untuk turun ke padang dan beraksi.

Hari itu akhirnya tiba kelmarin.

Daripada perjalanan menjadi salah seorang pemain sayap terbaik sepanjang zaman, seangkatan dengan nama-nama seperti Ronaldinho Gaucho, Pavel Nedved dan Franck Ribery, Hazard bersara sebagai nama yang bakal dilupakan dalam tempoh beberapa dekad akan datang.