Penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin, terus mendapat kepercayaan untuk menggalas cabaran skuad B-23 negara.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, nama Luqman Hakim tersenarai dalam kalangan 24 pemain yang telah dipanggil pengendali B-23 negara, Juan Torres Garrido.

Kem latihan pusat kali ini bermula 19 hingga 27 Disember sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024, yang dijadualkan berlangsung di Qatar, April depan.

Sebelum ini, penyerang yang berpangkalan di Eropah itu turut dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat Harimau Muda yang diadakan dari 13 hingga 21 November lalu.

Namun, situasi itu menimbulkan reaksi berbeza dalam kalangan peminat bola sepak negara ekoran prestasi tidak memuaskan Luqman Hakim, yang kini bersama kelab Belgium, KV Kortrijk.

Malah, Luqman Hakim, yang pernah tersenarai dalam 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian, sedang meniti detik suram selepas gagal mendapatkan minit permainan secukupnya.

Untuk rekod, bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu berhijrah ke Eropah untuk menyarung jersi Kortrijk pada 2020 sebelum menyertai kelab Iceland, Njardvik, secara pinjaman.

Selepas tamat tempoh pinjaman pada awal tahun ini, Luqman Hakim kembali bersama Kortrijk, namun dia masih gagal mendapat peluang beraksi bersama kelab berkenaan.

Dalam pada itu, antara 'muka lama' yang turut dipanggil kali ini ialah penjaga gol Terengganu FC (TFC), Muhammad Rahadiazli Rahalim selain beberapa tonggak Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Pemain terbabit termasuklah Harith Haiqal Adam Afkar, Muhamad Syahir Bashah, V. Ruventhiran, Fergus Tierney, Daryl Sham dan Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan.

Namun, skuad muda negara terlepas khidmat beberapa pemain utama seperti Ubaidullah Shamsul Fazili, Adam Farhan Mohd Faizal dan Haqimi Azim Rosli ekoran masalah kecederaan.

Mengikut jadual, skuad Harimau Muda akan menjalani kem latihan pusat bermula 19 hingga 27 Disember ini sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang dijadualkan berlangsung di Qatar, April depan.

Malah, FAM turut mengatur dua aksi persahabatan menentang skuad B-23 China yang dijadualkan berlangsung pada 23 dan 26 Disember nanti.

Dalam Piala Asia B-23 2024, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan membuka saingan menentang Uzbekistan pada 17 April diikuti aksi bertemu Vietnam (20 April) dan Kuwait (23 April).

--Sinar Harian