Paris Saint-Germain (PSG) sekadar terikat 1-1 dengan Monaco dalam aksi Ligue 1 di Parc des Princes awal pagi tadi, sekali gus meleburkan rekod kemenangan 100 peratus mereka musim ini.
PSG memulakan separuh masa pertama dengan mendominasi permainan tetapi percubaan tepat Kevin Volland mengatasi penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, menyaksikan mereka ketinggalan pada minit ke-20.
Pasukan bimbingan Christophe Galtier itu terus memberikan tekanan bagi mendapatkan gol penyamaan dalam babak kedua dan ia berhasil apabila video bantuan pengadil (VAR) mendapati Neymar dikasari dalam kawasan penalti sebelum penyerang itu menyempurnakan sepakan berkenaan pada minit ke-70.
Pasukan tuan rumah itu kemudian menggandakan asakan mereka bagi mencari gol kemenangan tetapi pendekatan bertahan Monaco sehingga ke wisel penamat menyaksikan kedua-dua pasukan perlu berpuas hati dengan pungutan satu mata.
Keputusan seri itu juga menyaksikan PSG melebarkan rekod tanpa kalah di laman sendiri kepada 24 perlawanan liga tetapi mereka seharusnya kecewa tidak memenangi perlawanan kali ini berdasarkan 18 percubaan yang direncanakan berbanding hanya empat yang dilakukan Monaco.
Mereka seterusnya akan bertandang ke laman Toulouse bagi meneruskan saingan Ligue 1 pada awal pagi Khamis ini sambil Monaco pula akan menantikan kunjungan Troyes pada hari yang sama.
27 - Paris have hit the woodwork 27 times in Ligue 1 since the start of last season, at least 11 more times than any other team over the period. Unlucky. #PSGASM pic.twitter.com/YGzLIJZGDt
— OptaJean (@OptaJean) August 28, 2022