Sistem VAR sekali lagi menjadi topik perbualan hangat setelah leburnya rekod tanpa kalah Arsenal musim ini di tangan Newcastle United.

Dalam perlawanan agak hambar semalam -- Arsenal hanya mampu melakukan satu percubaan tepat sepanjang 90 minit -- gol penentu Newcastle dijaringkan menerusi rentetan penuh kontroversi yang akhirnya disahkan pengadil dan pengendali sistem VAR hingga mendatangkan amuk daripada The Gunners dan penyokong mereka.

Gol itu terhasil daripada lorongan pemain Newcastle Joe Willock dari bahagian sayap lalu dilantunkan oleh Joelinton di hadapan gol tepat ke haluan Anthony Gordon yang mudah memacu bola masuk ke gawang.

Persoalan pertama adalah sama ada bola telah pun keluar dari sempadan sewaktu lorongan dilakukan oleh Willock. Persoalan kedua sama ada Joelinton telah mengasari pemain pertahanan Arsenal, Gabriel Magalhaes, dan persoalan terakhir sama ada Gordon berada di posisi ofsaid sewaktu menerima bola.

Perlawanan dihentikan selama beberapa minit untuk semakan teliti dan mengelakkan episod memalukan sewaktu perlawanan Liverpool-Tottenham sebelum ini terjadi lagi.

Semakan mendapati bola masih sipi-sipi kekal dalam sempadan sebelum Willock melakukan lorongan, Joelinton tidak mengasari Magalhaes manakala tidak ada sudut kamera yang tepat untuk menentukan sama ada lantunan dilakukan oleh Joelinton ataupun datang dari kaki Magalhaes, maka keputusan ofsaid tidak boleh diberikan – gol Newcastle sah.



Tidak mengejutkan, individu yang paling berang dengan keputusan itu adalah pengurus Arsenal, Mikel Arteta.

Dalam temu bual pasca perlawanan, dia menggelarkan sistem VAR sebagai sesuatu yang memalukan dan tahap piawaian pengadil tidak selari dengan liga yang seharusnya dilabelkan sebagai terbaik di dunia.

Apabila diberitahu yang keputusan pengadil dibuat setelah pemeriksaan sebanyak tiga kali, Arteta membalas dengan mengatakan bahawa itu lebih memalukan kerana kesilapan masih berlaku selepas penelitian sebanyak itu.

Kata-kata Arteta itu disokong penuh oleh pihak pengurusan Arsenal yang menggesa agar kualiti pengadilan Liga Perdana Inggeris dinilai semula pada kadar segera.

Ironinya di sini, sewaktu kontroversi VAR ini berlaku dalam perlawanan Liverpool-Tottenham, Arteta memberikan sokongan penuh kepada pihak pengadil ketika itu.

“Pada pendapat saya, pihak pengadil sentiasa mencuba untuk mengambil keputusan terbaik, mereka cuba melindungi sukan ini, jadi perlu untuk tegas dalam keadaan tertentu.

“Kita harus memberikan sokongan dan memahami yang kadangkala kesilapan boleh berlaku, sama seperti semua orang lain yang melakukan kesilapan apabila tekanan terlalu tinggi dan sukar dikawal.”

Sesungguhnya kenyataan ini seolah-olah diucapkan oleh orang lain apabila melihat betapa marahnya Arteta semalam. Mungkin apabila terkena pada batang hidung sendiri barulah sifat sebenar seseorang akan kelihatan.

Di sebalik kesemua ini, sistem pengadilan VAR tetap tidak boleh dikatakan telah memperbaiki sepenuhnya kekurangan mereka.

Terdapat satu insiden di mana pemain Newcastle, Bruno Guimaraes, menyiku kepala pemain Arsenal, Jorginho, dari belakang sepertinya dengan sengaja.

Semakan sistem VAR memutuskan sebaliknya sedangkan hampir kesemua yang menonton sebulat suara mengatakan kad merah seharusnya diberi.

Selain itu, di sebalik kecanggihan teknologi dan kos tinggi sistem ini, tidakkah menghairankan apabila diberitahu tidak ada sudut kamera yang sesuai untuk membantu mereka melakukan keputusan tepat?

Apa yang pasti, lebih banyak kontroversi bakal kita saksikan pada masa akan datang tetapi sama ada penambahbaikan kualiti pengadilan akan turut berlaku adalah persoalan yang masih belum dapat dijawab.