Pahang menghela nafas lega setelah mengesahkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas menang tipis 1-0 ke atas T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi.

Penolong jurulatih Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi, berkata pencapaian itu mengubati kekecewaan gagal ke separuh akhir Piala Malaysia yang disifatkannya mengganggu moral pasukan itu.

Mengulas lanjut kemenangan malam tadi, Ahmad Shaharuddin mengakui pemain-pemainnya bergelut untuk mengembalikan keyakinan sehingga terpaksa membuat rombakan kecil pada kesebelasan utama.

“Keputusan ini sekurang-kurangnya menceriakan kem Pahang. Dari awal, jelas kelihatan kekalahan (Piala Malaysia) itu menjejaskan emosi pemain.

“Alhamdulillah misi mendapatkan tiga mata berjaya walaupun ia tidak hadir dengan mudah,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Pahang memiliki dua peluang awal menerusi rembatan Matthew Davies (m-3) dan Christie Jayaseelan (m-6) dari dalam kotak penalti, namun dapat ditepis Mohd Suhaimi Husin.

Tuan rumah bangkit membuat serangan balas dengan penjaga gol Pahang, Helmi Heliza Alias, turut bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan Mohd Kamal Azizi (m-21) dan Syed Sobri Syed Mohd (m-44).

Bersambung babak kedua, peluang terbaik T-Team sekali lagi hadir pada minit ke-56, malangnya Mohd Nor Hakim Hassan gagal menyudahkan situasi satu lawan satu dengan Helmi Eliza.

Ketumpulan jentera serangan T-Team dihukum dengan gol kemenangan Pahang melalui jaringan Matheus Alves hasil gerakan solo pada minit ke-78 dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat.

Kekalahan T-Team itu menyaksikan tekanan kembali terarah kepada mereka untuk mengekalkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim depan.

Menurut pengendalinya, Rahmad Darmawan, kegagalan anak-anak buahnya menyempurnakan peluang terhidang menjadi faktor skuad The Titans berputih mata di halaman sendiri.

“Kami ada sehingga tiga peluang pada babak pertama, malah situasi satu lawan satu pada babak berikutnya. Pasukan lawan mengambil kesempatan dengan satu gerakan dan kami kalah.

“Barisan pertahanan juga kurang berkomunikasi dengan baik selain terlalu ghairah mencari kemenangan,” tambah jurulatih kelahiran Indonesia itu lagi.

Berbaki satu perlawanan menentang Sarawak di Kuching, bulan depan, T-Team memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana.