Gara-gara gagal mengawal emosi akibat jaringan gol penyamaan oleh pasukan lawan, Presiden kelab Turkiye, Ankaragucu mungkin bakal berdepan dengan hukuman berat oleh badan induk bola sepak dunia, FIFA atau pun negara itu selepas beliau bertindak menumbuk pengadil.

Insiden itu tercetus sejurus ketika pengadil Halil Umur Meler meniupkan wisel penamat selepas mengadili perlawanan antara kelab MKE Ankaragucu dan Caykur Rizespor.

Ankaragucu ketika itu dilihat bertindak meluru masuk ke padang sebelum melepaskan tumbukan tersebut yang tepat mengenai Halil Meler selepas tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan yang berkesudahan seri
satu sama di Stadium Eryaman.

Tindakanya itu juga telah mengheret penyokong kelab berkenaan yang kemudianya menyerbu masuk ke dalam padang yang menyaksikan adegan sepakan dan tendangan oleh mereka turut diterima Halil Meler.

Bagaimanapun pengadil itu dilihat akhirnya berjaya meloloskan diri ke bilik persalinan sambil diringi oleh polis bagi menyelamatkan keadaan.

Persekutuan Bolasepak Turkiye (TFF) dalam kenyataan berkenaan isu tersebut memutuskan untuk mengadakan satu mesyuarat tergempar susulan kekecohan yang berlaku itu.

Malah TFF menyifatkan kejadian tersebut sebagai insiden yang memalukan serta telah mencemar prestij bola sepak Turkeye.

"Bola sepak Turkiye dimalukan malam ini. Setiap orang yang terbabit dalam insiden ini akan dihukum," kata pengerusi TFF Mehmet Buyukeksi.