BORUSSIA DORTMUND 0 REAL MADRID 2

Real Madrid dinobatkan sebagai juara Eropah dengan rekod tertinggi sebanyak 15 kali apabila menumbangkan Borussia Dortmund 2-0 dalam final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Wembley, London awal pagi tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan, wakil Sepanyol itu kelihatan sukar menguasai permainan tetapi memecahkan keampuhan Dortmund dengan gol lewat permainan Dani Carvajal dan Vinicius Junior.

Pertahanan kanan veteran, Carvajal, menanduk masuk bola dari umpanan Toni Kroos pada minit ke-74 dan sejak itu, segalanya mula berpihak pasukan bimbingan Carlo Ancelotti berkenaan.

Vinicius kemudian menolak masuk jaringan kedua Madrid pada minit ke-83 untuk menterdiamkan lautan kuning penyokong Dortmund, yang sebelum itu sentiasa menggemakan sorakan semangat buat pasukan mereka sepanjang aksi final berkenaan.

Ia merupakan keputusan yang sukar diterima pasukan Jerman itu selepas mereka terlepas beberapa peluang keemasan dalam babak pertama, terutama percubaan jarak dekat Niclas Fullkrug yang terkena tiang.