Gianni Infantino mengatakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) harus terbuka untuk merevolusikan kalendar perlawanan antarabangsa selepas Arsene Wenger mencadangkan perubahan radikal.

Bercakap kepada beIN SPORTS minggu ini, bekas pengurus Arsenal itu percaya lebih banyak tumpuan harus diberikan kepada kejohanan utama FIFA termasuk Piala Dunia.

Bekas pengurus kelahiran Perancis itu kini berkhidmat sebagai Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA.

Wenger mengemukakan cadangan bahawa kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Euro harus dilangsungkan setiap dua tahun agar dapat menawarkan lebih banyak peluang kepada pemain untuk terbabit dalam kejohanan sedemikian ketika berada di kemuncak prestasi.




Perubahan seperti itu bakal menuntut perubahan besar dalam kalendar tahunan, namun Infantino menegaskan FIFA tidak akan mengetepikan suara itu dan keputusan mengenainya boleh diputuskan dalam masa 12 bulan lagi.

"Kami harus terbuka kepada semua orang, segalanya, setiap cadangan dan idea," kata presiden FIFA itu.

"Arsene Wenger bukan sahaja seorang pengurus yang berjaya dan cemerlang, malah dia adalah seorang profesor bola sepak dan kami mempunyai badan induk untuk membahaskan dan membincangkan kalendar antarabangsa bermula dari sekarang, KAmi harus membuat keputusan dalam beberapa bulan akan datang, semakin cepat semakin baik yang dijangka pada akhir tahun atau sepanjang tahun depan, agar semua orang boleh merancang."

Jadual antarabangsa bukanlah satu-satunya perkara yang perlu diperdebatkan memandangkan Infantino juga berminat untuk menggabungkan liga terkemuka Amerika Utara -- Liga Utama Bolasepak (MLS) dan Liga MX.