Masa depan Kim Pan-gon akhirnya terjawab, pengendali itu mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berbaki satu tahun dalam kontraknya.

Pan-gon, yang telah bersama pasukan sejak 2022, memainkan peranan penting mengubah nasib skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa, memimpin Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit.

Rentetan daripada keputusan mengejut tersebut, pemain kebangsaan, Faisal Halim, meluahkan rasa kekecewaan menerusi laman Instagramnya, sebentar tadi.

Sebelum ini, jurulatih berusia 55 tahun itu meluangkan masa melawat tonggak Selangor itu ketika dimasukkan ke hospital akibat terkena simbahan asid di sebuah pusat beli belah di Lembah Klang.

"Faisal! Saya mahu awak kembali semula dan bangkit demi pasukan kebangsaan.

"Sebagai seorang pengurus, saya tetap memberikan sokongan dan sentiasa akan mempercayai awak," katanya.