Erling Haaland memberikan lonjakan besar buat Manchester City apabila sudah mula menjalani latihan bersama pasukan itu.

Haaland, yang sudah menjaringkan 19 gol dalam kesemua kejohanan musim ini, terpaksa diketepikan sejak 6 Disember lalu gara-gara mengalami kecederaan kaki ketika City tewas 0-1 kepada Aston Villa.

Bagaimanapun, penyerang kebangsaan Norway itu dilihat sudah menjalani latihan skuad itu menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA Inggeris menentang Huddersfield hujung minggu ini.

Jeremy Doku, yang terlepas lapan perlawanan City gara-gara kecederaan otot, juga dilihat sudah menjalani latihan bersama rakan sepasukannya.

Ketibaan Haaland dan Doku sudah pasti menjadi amaran buat seteru City memandangkan Kevin De Bruyne juga kelihatan akan kembali beraksi dalam waktu terdekat.