LIVERPOOL 3 LEICESTER CITY 1

Liverpool melebarkan penguasaan di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada tujuh mata apabila bangkit menewaskan Leicester City 3-1 di Anfield awal pagi tadi.

Jordan Ayew terlebih dahulu membuka jaringan buat pelawat seawal minit keenam tetapi ia masih belum cukup untuk mengeluarkan mereka dari zon penyingkiran pada Hari Boxing.

Andrew Robertson dan Mohamed Salah kemudian melakukan percubaan yang terkena tiang gol sebelum Liverpool menyamakan kedudukan pada penghujung separuh masa pertama hasil jaringan Cody Gakpo.

Curtis Jones meletakkan tuan rumah di depan pada awal babak kedua dengan menolak masuk bola daripada lintangan Alexis Man Allister sebelum Salah memastikan kemenangan itu dengan jaringannya pada minit ke-82.

Pemain kebangsaan Mesir itu melakukan larian ke dalam kawasan penalti lawan sebelum melakukan penyudah, yang merupakan jaringannya yang ke-100 dalam saingan EPL di laman sendiri dan yang ke-16 dilakukannya dalam saingan liga musim ini.

Pun begitu, kelebihan Liverpool di puncak EPL berkemungkinan akan berkurangan kepada enam mata selepas pertemuan Arsenal dan Ipswich Town di Stadium Emirates awal pagi esok.