Pep Guardiola merasakan Manchester City terselamat daripada badai "tsunami" selepas pertembungan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Anfield, semalam.

John Stones memberikan pasukannya kelebihan dengan jaringan gol pendahuluan pada minit ke-23 sebelum pasukan tuan rumah menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti Alexis Mac Allister pada awal separuh masa kedua.

Kedua-dua pasukan itu mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan tetapi Liverpool jelas menguasai permainan secara dominan serta memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang mereka.




Keputusan itu membuatkan perlumbaan untuk menjadi juara liga semakin terbuka dengan Arsenal sedang mendahului dengan perbezaan jaringan gol berbanding Liverpool dan Manchester City pula yang ketinggalan satu mata dibelakang untuk melalui baki 10 perlawanan lagi untuk mempertahankan gelaran sebagai juara bertahan.

"Kami memberikan mereka sepakan penalti, cepat atau lambat dengan atmosfera di stadium ini, anda hanya mempunyai 15 atau 20 minit sahaja dan ia sudah kelihatan seperti tsunami yang datang kepada sesiapa yang sedang memegang bola.

"Permainan ini tidak mudah tetapi kami tidak pernah berhenti mencuba. Mereka mempunyai peluang dan kami juga mempunyai peluang kami sendiri tetapi selepas permainan tamat hanya ada keputusan seri."