LIVERPOOL 4 CHELSEA 1

Pemain remaja, Conor Bradley, mendaftarkan gol pertamanya bersama Liverpool dan menghasilkan dua bantuan jaringan ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membelasah Chelsea 4-1 di Anfield awal pagi tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan The Reds kini berkelebihan lima mata di atas pencabar terdekat, Manchester City.

Pertahanan kanan berusia 20 tahun itu melepaskan rembatan ke penjuru bawah gawang Chelsea untuk menggandakan kelebihan Liverpool pada minit ke-39 selepas terlebih dahulu membantu jaringan Diogo Jota pada pertengahan babak pertama.

Selepas Darwin Nunez gagal menyudahkan sepakan penalti dalam waktu kecederaan separuh masa pertama, Dominik Szoboszlai menambah kelebihan Liverpool dengan menanduk masuk lintangan Bradley pada minit ke-65.

Christopher Nkunku kemudian mengecilkan jurang buat Chelsea pada minit ke-71 tetapi Luis Diaz menjaringkan satu lagi gol untuk melengkapkan kemenangan Liverpool untuk The Reds mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 15 perlawanan dan kemenangan keempat berturut-turut.

Ia juga merupakan aksi pertama The Reds sejak Jurgen Klopp mengumumkan akan meninggalkan pasukan itu pada penghujung musim ini.

Malang buat Chelsea apabila pasukan bimbingan Mauricio Pochettino itu terpaksa menamatkan rentetan tiga kemenangan berturut-turut untuk menduduki tangga ke-10 EPL.